Tuesday, 11 September 2012

Bab 2

"Haihh, mana si Ayu ni? Tadi kata pergi ke kedai Esah tu. Takkanlah lama sangat. Bukannya jauh pun." keluh Haji Rahman.


Hampir setengah jam Haji Rahman menunggu anaknya itu. Ke mana pula si Ayu ini, getus hati Haji Rahman. Ayah mana yang tidak risau apabila anaknya tidak pulang-pulang dari petang tadi. Sekarang dah nak senja. Sedangkan Ayu hanya pergi ke kedai Mak Esah yang kira-kira 200 meter saja dari rumahnya. Tidaklah jauh mana pun. Makin risaulah Haji Rahman dibuatnya. Di ruang tamu rumah kayu itu, langkahnya bergerak ke kiri ke kanan seperti cacing kepanasan. Sekali sekala dia menjenguk keluar tingkap rumahnya.


"Assalammualaikum." kedengaran suara Ayu memberi salam.


"Waalaikummussalam. Ayu ke mana, nak? Kamu ni selalu buat hati ayah risau tau. Dah dekat maghrib baru sampai rumah. Bertuah punya budak." bertubi-tubi melontarkan kata-katanya.


"Hahahaha.. Ayah risau kalau Ayu keluar dengan Haniff eh?" Laju saja kata-kata yang keluar dari mulutnya.  Alamak! Terlepas cakap. Pantas Ayu menutup mulutnya.


"Apa Ayu cakap tadi? Keluar dengan Haniff?" Riak muka Haji Rahman bertukar menjadi masam. Haniff dah balik, bisiknya perlahan.


"Ermm, errr.. Ya. Tadi Ayu terjumpa dengan Haniff di kedai Mak Esah. Lama dah tak jumpa dia. Jadi, kami berborak-boraklah sebentar." Tidak sanggup dia mahu mengatakan kenyataan itu.


"Apa?! Sebentar? Takkanlah sampai setengah jam kat kedai Esah tu?" perli Haji Rahman. Mukanya sedikit berkerut.


Ayu menundukkan wajahnya ke arah lantai kayu rumahnya. Takut untuk menatap wajah ayahnya itu. Ayu terdiam tanpa sebarang kata.


"Lepas ni, ayah tidak mahu kamu berjumpa dengan si Haniff tu. Faham!" suara Haji Rahman agak tinggi itu membuatkan Ayu terkejut. Tidak pernah ayahku ini meninggikan suara sebegini rupa.


Ayu hanya mampu menganggukkan kepalanya perlahan. Tubir matanya kini seakan-akan mahu menitiskan air mata tapi Ayu cuba menahannya daripada jatuh. Lantas kakinya melangkah laju masuk ke bilik. Dia mahu melepaskan tangisannya itu sendirian tanpa sebarang gangguan.


Haji Rahman terdiam sebentar di kerusi kayu ruang tamu tersebut. Kesal dengan bicaranya yang agak melampau terhadap anak tunggalnya itu. Haji Rahman bangun dari kerusi itu untuk pergi ke bilik air. Mengambil wudu' dan seterusnya solat maghrib. Dua perkara ini dapat menenangkan jiwanya mengenai hal duniawi ini.


****


"Hishh!!" Redza menghempas basikal tua yang dia tunggang selepas pergi ke kedai Mak Esah sebentar tadi.


"Kenapa hempas basikal Mak Tok tu? Redza marahkan siapa pula ni? Marahkan Mak Tok ke?" Mak Tok Imah yang sedang duduk menunggu kepulangan Redza di anak tangga rumahnya itu memulakan bicara. Jarang benar dia melihat Redza naik angin sebegini rupa. Apa yang terjadi sebenarnya ini? Keluh hati Mak Tok Imah.


Redza mengusap perlahan mukanya. "Maafkan Redza, Mak Tok. Redza terlalu mengikut perasaan marah dalam hati ni." Redza menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Mak Tok Imah lalu mengucup lembut tangan yang berkedut itu tanpa rasa malu. Redza amat menyayangi Mak Tok Imah yang telah menjaganya dari kecil. Nak mengharapkan ibu bapanya yang menjaga, memang jauh panggang dari api. Ibu bapanya terlalu sibuk bekerja demi mengejar kemewahan dunia sehinggakan sanggup menyuruh Mak Tok Imah yang agak uzur itu untuk menjaganya. Walaupun dia dipelihara oleh Mak Tok Imah di kampung itu sejak kecil, ibu bapanya tetap akan datang menjenguknya sebulan sekali. Atau mungkin setahun sekali itu pun jika ibu bapanya benar-benar sibuk di Kuala Lumpur.

"Takpe... Mak Tok tahu kamu ada masalah. Cuba kamu cerita kat Mak Tok. Manalah tahu Mak Tok boleh tolong." jawab Mak Tok Imah lembut. Dia tidak mahu menyimbah minyak ke dalam api.


"Belum tiba masanya lagi Mak Tok. Nanti bila Redza dah bersedia untuk bercerita, Redza akan cerita. Mak Tok jangan risau ya." Redza hanya mampu mengukir senyuman nipis. Di dalam kotak fikiran dan hatinya masih terasa pedih melihat kejadian di tebing sungai sebentar tadi. Sungguh mesra. Perasaan cemburu di dalam hati semakin meluap-luap. “Kenapa perasaan ini harus ada di dalam hatiku? Sedangkan dia tidak pernah merasakan cinta daripada diriku. Adakah kerana aku keseorangan atau aku memang ikhlas mencintainya?” bisik Redza di dalam hati.


"Baiklah." ringkas Mak Tok Imah membalas. Redza kembali ke alam realiti sedari tadi dia asyik melayan perasaannya di dalam hati.


Redza terus melangkah masuk ke dalam rumah dengan hati yang resah. "Kenapa harus Haniff kembali ke kampung ini?" bisiknya dengan nada suara yang agak perlahan.


****

Di dalam bilik, Ayu duduk di birai katil. Fikirannya masih mengenangkan perkara yang berlaku antara dia dan ayahnya sebentar tadi.


"Kenapa semua orang tak suka dengan hubungan Ayu dan Haniff? Kenapa perlu halang cinta tulus kami? Cinta pertama Ayu... Kenapa, kenapa!" tangisnya sendiri sambil menatap gambar arwah uminya. Air matanya tidak dapat dikawal lagi. Menitis setitik demi setitik di atas permukaan gambar tersebut.


"Umi, Ayu rindu umi. Umi seorang saja yang memahami hati Ayu. Menjadi peneman di kala Ayu berduka" bisiknya perlahan. Mengusap perlahan gambar arwah uminya itu.


''Umi, kenapa ayah menghalang hubungan Ayu dengan Haniff? Ayah tidak pernah memarahi Ayu sebelum ini. Selepas umi pergi meninggalkan kami, ayah benar-benar berubah...." sambungnya.


Suasana bilik itu menjadi sunyi apabila Ayu menghabiskan kata-katanya. Ayu tahu yang dia hanya berkata-kata kepada sekeping gambar yang tidak akan membalas luahan hatinya. Umi sudah tiada. Sudah 9 tahun umi meninggalkan kami. Tidak sangka masa berlalu tanpa disedari. Apa yang mampu Ayu lakukan hanyalah berdoa kesejahteraan arwah uminya. Amin.


Ayu melangkah ke almari pakaiannya lalu membuka laci almari tersebut. Perlahan-lahan dia meletakkan gambar tersebut di dalamnya. Laci itu tutup dengan rapat. Saat kaki Ayu mahu melangkah kembali ke katilnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi ketukan di tingkap biliknya.


"Tukkk, tukkk"


Hati Ayu yang tadi berduka bertukar menjadi gelisah. "Siapa pula yang ketuk malam-malam ni?" 


Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri tingkap biliknya itu dengan perasaan yang cemas. Cuba memberanikan diri untuk mendekati tingkap itu. Rambut ikalnya yang menganggu pemandangannya disisir ke belakang. Kelihatan beberapa titisan peluh di dahinya. Berdebar sungguh.


Sampai saja berhampiran tingkap kayu itu, Ayu membuka tingkap kayu itu dengan berhati-hati. Tiba-tiba jatuh sekeping kertas kecil di atas kaki Ayu. "Huh! Semangat!" nada suara Ayu sedikit terkejut. Pantas tangannya mencapai kertas itu.


"Siapa pula yang menghantar surat malam-malam ni?" getusnya perlahan.


Lipatan kertas itu dibuka dengan penuh teliti. Kelihatan serbuk halus berwarna putih. Sah, ini mesti bedak. Ayu meniup lembut ke atas permukaan surat itu. Berterbangan serbuk halus itu di sekitar ruang biliknya. Terdengar deruan nafasnya yang sedang menghidu bau kertas itu. "Wanginyaaa." getusnya sendirian.

Ayu membaca apa yang tertulis di dalam kertas itu. Senyuman terbit di wajahnya.


Dear Heart,

Fall in love when you're ready,

NOT when you're lonely...


Love,

Your Stalker... hehehe :)


"Siapa pula stalker aku ni? Hurrrmmm... Mesti Abang Haniff yang hantar ni. Tapi... dia boleh saja SMS aku ayat-ayat jiwang macam ni" fikirnya sendiri.

"Alaaa.. Mesti Abang Haniff nak sweet-sweet dengan aku ni. Sebab tu la dia tulis surat siap letak bedak wangi pulak tu. Hehehe... Comel la Abang Haniff ni." sambungnya. Ayu sudah mula berangan-angan. 


Suasana malam yang suram sebentar tadi di bilik itu telah menjadi malam yang paling ceria dan gembira apabila dia membaca perutusan daripada orang tersayang.


****
"Abang Haniff!" 

Ayu menjerit memanggil Haniff yang sedang menunggang motorsikal untuk pergi ke kedai. Huh, terkejut Haniff dibuatnya. Nasib baik dia tidak terlanggar tiang lampu. Kalau tidak, habislah muka perasan handsome dan badan six pack dia tu penuh dengan parut.

Haniff mematikan motorsikalnya. Kakinya menolak perlahan tongkat motorsikal tersebut. Lantas Haniff bangun dari tempat duduknya. Ayu bergegas menuju ke arah Haniff sambil tersenyum.

"Kenapa Ayu panggil abang? Ayah Ayu tak marah ke Ayu jumpa dengan abang ni?" nada suaranya cuba dimaniskan walaupun dalam hatinya masih  marah kepada Ayu kerana membuatnya hampir melanggar tiang lampu sebentar tadi. Dengan perempuan kenalah pandai mengayat. Barulah cair.

"Malulah pula nak cakap kat abang. Hehehe..." Ayu ketawa malu.

"Sejak bila pula Ayu pandai malu-malu dengan abang ni?" kata Haniff sambil mencuit lembut pipi Ayu. Terkaku sebentar Ayu dibuatnya. Rasa nak gugur saja jantung ini apabila diperlakukan sebegitu.. Ayu tunduk sambil tersenyum. "Abang Haniff sangat pandai ambil hati aku." bisiknya di dalam hati. Haniff tersenyum melihat reaksi Ayu. "Huh! Dasar perempuan kampung. Senang cair dengan kata-kata lelaki macam aku." ketawa Haniff di dalam hati.

"Sebenarnya Ayu nak tanya Abang Haniff pasal surat yang Ayu dapat semalam. Abang Haniff ke yang tulis surat tu?" akhirnya terluah juga apa yang tersimpan dalam fikirannya.

"Surat?" balasnya dengan hati yang penuh tanda tanya. "Bila masa pula aku tulis surat untuk dia ni?" fikirnya. 

"A'ah, surat yang abang tulis ayat-ayat sweet tu. Siap tulis from Your Stalker lagi tu" Ayu tersenyum. Fikirannya masih mengingati kata-kata indah yang tertulis di dalam surat itu. "Awwww, Your Stalker.... Berada di depan kau Ayu." hatinya berkata.

Lama Haniff terdiam tanpa sebarang kata. Masih memikirkan surat cinta yang Ayu ceritakan sebentar tadi. "Siapa pula yang berani hantar surat cinta kat Ayu ni. Kalau aku dapat tahu siapa yang hantar, siaplah dia aku kerja." bisik hatinya yang sedang meletuskan lava gunung berapi.

"Hurmmm...Tapi Ayu pun tak tahu siapa yang menulis surat itu. Dia ingatkan aku yang tulis padahal aku tak pandai pun nak berjiwang-jiwang dalam kertas ni. Lebih baik aku cakap je yang aku menulis surat tu untuk dia. Melting habis la Ayu lepas ni kat aku." hati jahatnya terus berbisik. Hampir tidak sedar yang Ayu berada di depannya.

"Abang Haniff, kenapa termenung pula ni?" nada suaranya seakan-akan merajuk. Penat dia menanti jawapan terpacul dari mulut Haniff.

"Huh?" Haniff kembali ke alam realiti. "Urmmm, Ayu... Sebenarnya, memang abang yang tulis surat tu untuk Ayu. Ayu mesti happykan dapat surat tu. Ayu nak tahu tak yang abang menulis surat tu dengan sepenuh tulus ikhlas dari hati abang. Just for you, sayang." 

"Ayu dah agak dah. Mesti Abang Haniff yang menulis surat ni. Abang Haniff sangat memahami perasaan Ayu." balas Ayu. Gembira mendengar pengakuan Abang Haniff mengenai surat cinta itu. Lantas, Ayu memaut lengan Haniff dan berkata, "Thanks for everything, Abang Haniff. Ayu sayangkan abang."

p/s: Minta maaf la lambat sangat update entry ni... Bab ni pendek sikit daripada bab 1... hehehe... Nantikan bab 3 yang sememang AWESOME! *cehhh, macam la awesome sangat :P

No comments:

Post a Comment

Yang baik hati nak komen :)